MBI batal lokasi bazar selepas dapat bantahan – Datuk Bandar

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat keputusan untuk membatalkan lokasi tapak bazar Ramadan Station 18 di Taman Pengkalan Jaya selepas mendapat bantahan daripada pemilik premis perniagaan di sepanjang jalan berkenaan.

 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata sebelum ini MBI pernah meluluskan tapak tersebut untuk dijadikan tapak bazar Ramadan bagi 22 orang peniaga.

 

“Tetapi, akibat terdapat banyak bantahan daripada peniaga-peniaga kedai di sepanjang jalan tersebut menyebabkan MBI membuat satu keputusan baharu dengan memindahkan tapak bazar Ramadan itu ke tempat lain.

 

“Tapi saya difahamkan penganjur tidak bersetuju dan mahu kekal di tapak sama. Jadi, apabila penganjur tidak bersetuju, ia akan mengganggu peniaga di kedai-kedai sedia ada.

 

“Sebab itu MBI terpaksa membatalkan lokasi itu dan sebagai alternatif bagi peniaga-peniaga bazar yang sudah membayar kepada penganjur kita telah memberi lokasi lain iaitu di Taman Temara dan Desa Aman.

 

“Setakat ini, masih terdapat peniaga-peniaga yang masih belum membuat keputusan namun ada dalam kalangan mereka yang sudah bersetuju.

 

“Jadi, peniaga-peniaga terbabit perlulah membuat keputusan selewat-lewatnya pagi esok berhubung perkara tersebut,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Jumaat.

 

Hadir sama, Ketua-Ketua Whip MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman; Abu Bakar Hussian dan Mahader Ahmad Mohammad Ayob.

 

Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 17, Nor Afzainizam Salleh berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai bantahan berhubung perkara tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Jumaat.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Jumaat.
Ahli Majlis MBI Zon 17, Nor Afzainizam Salleh pada sidang media berhubung isu bazar Ramadan Station 18 selepas selesai Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Jumaat.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (dua kanan) pada sidang media berhubung isu bazar Ramadan Station 18 selepas selesai Sesi Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Jumaat.

 

Katanya, terdapat tiga ke empat klinik beroperasi di sepanjang jalan berkenaan dan ia boleh mengganggu kelancaran lalu lintas jika operasi bazar itu masih diteruskan.

 

“Pasar malam boleh dipertimbangkan kerana ia hanya diadakan sekali seminggu lagipun tapak baharu yang ditawarkan terletak berhampiran dengan kawasan tersebut. Apa yang penting adalah keselesaan rakyat,” katanya.

 

Semalam tular video di laman Facebook Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman bersama peniaga-peniaga bazar Ramadan terbabit meminta penjelasan daripada MBI berhubung pembatalan tapak bazar di kawasan itu.

 

Peniaga turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila MBI membuat keputusan untuk memindahkan tapak bazar Ramadan ke lokasi lebih bersesuaian agar tidak menganggu aliran trafik sepanjang bulan Ramadan nanti.

 

#PerakKini #isu #BazarRamadan #Station18

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *