Penjaja harap dapat beroperasi sempena Ramadan, kekal lesen niaga

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penjaja yang berniaga di sepanjang Jalan Perpaduan (berhampiran Dataran Perpaduan) di sini memohon supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan mereka terus beroperasi sepanjang Ramadan ini.

 

Penyelaras penjaja-penjaja kecil Bercham Raya, Borhan Mohd Yatim berkata sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) banyak membantu dan memberi kerjasama baik dengan membenarkan penjaja-penjaja berniaga di kawasan tersebut.

 

“Kami berharap dan menyeru kepada MBI supaya  membenarkan kami berniaga di lokasi sama pada Ramadan ini memandangkan kami tidak mampu membayar sewa tapak bazar yang agak mahal.

 

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa kehidupan kami agak sukar dan kami bergantung sumber pendapatan melalui berniaga secara kecil-kecilan di sini.

 

“Terdapat lebih kurang 100 penjaja yang meniaga di sekitar kawasan ini dan kami juga sudah mempunyai pelanggan tetap,” katanya.

 

Beliau ditemui selepas menghadiri perjumpaan penjaja-penjaja kecil Bercham Raya bersama Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman di sini, pada Sabtu.

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman ketika mengadakan sesi pertemuan bersama penjaja-penjaja kecil Bercham Raya di sini, pada Sabtu.
Penjaja-penjaja kecil Bercham Raya yang hadir pada sesi pertemuan bersama Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman di sini, pada Sabtu.
Penyelaras penjaja-penjaja kecil Bercham Raya, Borhan Mohd Yatim.

 

Dalam perkembangan sama, Borhan turut memohon MBI untuk mengeluarkan lesen niaga kepada penjaja-penjaja terbabit bagi memudahkan mereka untuk berniaga.

 

Katanya, ada dalam kalangan penjaja yang sudah mempunyai lesen niaga namun mereka dimaklumkan ia akan ditamatkan dalam masa terdekat.

 

“Kalau boleh kekalkan lesen ini supaya kami dapat terus  berniaga di sini, walaupun harga lesen dinaikkan sehingga RM100 pun kami sanggup membayarnya. Kami tak kisah.

 

“Apa yang penting kami boleh terus berniaga di sini dan kami akan mengikuti segala syarat-syarat yang ditetapkan MBI,” jelasnya.

 

Sementara itu, Mazlan berkata beliau akan cuba berbincang dengan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berhubung masalah yang dihadapi penjaja-penjaja terbabit.

 

Katanya, perniagaan yang dijalankan penjaja-penjaja terbabit adalah sumber pendapatan mereka untuk menanggung keluarga dan mereka juga perlu meniaga dalam keadaan selamat tanpa gangguan.

 

“Saya percaya dan yakin di bawah pentadbiran bawah Datuk Bandar yang sangat prihatin kepada masyarakat dan di bawah MBI Prihatin kita juga akan mencari inisiatif untuk membantu penjaja-penjaja kecil di sini,” katanya.

 

Beliau juga berharap penjaja-penjaja kecil terbabit akan dimurahkan rezeki pada Ramadan ini.

#PerakKini #Ramadan #lesenniaga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *