Isu jual tanah Seri Iskandar: MB tidak akan buat laporan polis, SPRM

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak akan membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa seluas 188 hektar di Seri Iskandar.

 

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata satu laporan polis sudah cukup memadai bagi mana-mana agensi untuk melakukan siasatan terhadap perkara berkenaan.

 

“Saya tengok sudah banyak orang buat laporan (berhubung isu itu), of course SPRM buat siasatan berdasarkan laporan itu. Tak apalah. Saya tak akan menari ikut gendang orang (ikut cara kebiasaan).

 

“Apa yang penting ialah kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan dan kita percaya, yakin mereka (pihak berkuasa) akan membuat siasatan secara telus,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut melancarkan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak, di sini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.

 

Hadir sama, Exco Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya keputusan membatalkan Kebenaran Merancang (KM) kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan isu tersebut.

 

“Dalam kes ini, Yang Dipertua MDPTA yang seharusnya buat. Kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenangnya memutuskan perkara itu (membatalkan KM) yang (kemungkinan) akan menyalahi peraturan dan undang-undang.

 

“Jadi apa pun yang hendak dibuat, Yang Dipertua MDPT yang seharusnya merujuk semula kepada peraturan dan undang-undang sedia ada kerana ia di bawah kuasa PBT yang mana PBT mempunyai kuasanya yang tersendiri,” katanya.

 

Sebelum ini, ADUN Aulong Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan.

 

Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Asmuni semalam.

 

Terdahulu, beliau melancarkan Program Belia Bertadarus dan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak, di sini.

#PerakKini #isujualtanah #lapanganterbang #SeriIskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *