MBI peruntukan lebih RM100,000 bantuan Ramadan, Syawal

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan lebih RM100,000 bagi membantu golongan asnaf serta mereka yang memerlukan sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata daripada jumlah tersebut RM50,000 diperuntukan bagi membiayai program berbuka puasa di 16 masjid dan surau sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, setiap masjid dan surau terbabit akan menerima sekitar RM3,000 untuk melaksanakan program berkenaan.
“Kita ada peruntukan kira-kira RM50,000 untuk biayai program berbuka puasa di 16 masjid dan surau dengan jumlah RM3,000 bagi setiap kawasan.
“Pada tahun ini, kita ubah cara pemberian bantuan kepada golongan asnaf dengan memyumbangkan wang tunai RM100 untuk mereka yang layak.
“Kita akan beri bantuan secara tunai memandangkan kita lihat keperluan sekarang ini macam-macam.
“Difahamkan harga ikan, daging, ayam pun dah naik jadi lebih baik kita berikan wang tunai untuk mereka membeli lauk raya,” katanya.




Beliau ditemui berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa anjuran MBI dan Hotel M Roof dengan kerjasama Pasar Raya Econsave di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua-Ketua Whip Ahli Majlis MBI iaitu Datuk Mazlan Abd Rahman, Abu Bakar Hussian dan Mahader Ahmad Mohammad serta Pengurus Econsave Cawangan Ampang Baru, Shah Effendy Rosman.
Rumaizi berkata selain itu, sebanyak RM40,000 diperuntukan bagi program yang dilaksanakan sempena Ramadan ini dengan kerjasama rakan strategik seperti Pasar Raya Econsave dan beberapa syarikat lain bagi membantu anak yatim serta golongan kurang berkemampuan.
Terdahulu, seramai 60 kanak-kanak dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh serta Pertubuhan Al-Yaasin diraikan MBI bersama Pasar Raya Econsave Ampang Baru dengan bantuan pembelian pakaian raya.
Mereka yang terdiri daripada kanak-kanak berusia antara tiga sehingga 16 tahun teruja dapat memilih sendiri baju raya mereka untuk dipakai pada pagi raya, diiringi oleh pasukan pengurusan Econsave Ampang Baru dan kakitangan MBI.
Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata kanak-kanak terbabit diberikan baucar bernilai RM50 setiap seorang untuk membeli-belah di pasar raya berkenaan.
Menurutnya, program pemilihan pakaian raya yang diadakan di bawah Persatuan Pegawai Kanan (Paduan) MBI bersama anak-anak yatim ini diadakan pada setiap tahun dan ia sudah masuk tahun kelapan.
“Selepas selesai, kita akan membawa mereka ke Program Berbuka Puasa anjuran MBI dan Hotel M Roof serta menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim ini.
“Kita berharap pemberian tersebut dapat menggembirakan mereka selain mengurangkan bebanan kos yang perlu ditanggung golongan yang kurang berkemampuan ini,” katanya.
#PerakKini #MBI #Econsave #MRoof #bantuan #bajuraya #bukapuasa
