Penggaya rambut menang cabutan bertuah RM20,000

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penggaya rambut, Yap Weng Wai, 40, dari Kampung Baru Jelapang, muncul pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Tahun 2022 iaitu wang tunai sebanyak RM20,000.

 

Katanya, dia berasa terkejut dan gembira kerana sepanjang 10 tahun membayar cukai taksiran ini adalah kali pertama dia memenangi hadiah utama berbentuk wang tunai.

 

Menurutnya, setakat ini dia tidak pernah culas membayar cukai untuk rumah pusaka yang didiaminya lebih 40 tahun itu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (tengah) bersama pemenang-pemenang hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MBI Tahun 2022, di Ipoh.
Yap Weng Wai (dua kiri) menerima hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran MBI Tahun 2022 iaitu wang tunai RM20,000 daripada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud (dua kanan), hari ini.

“Wang ini akan digunakan bagi memperbaiki bahagian-bahagian rumah yang rosak supaya keluarga saya dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa.

 

“Selain itu, sebahagian daripada wang yang diperoleh ini akan digunakan bagi membiayai pengajian dua orang anak saya,” katanya.

 

Dia berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Utama Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBI Tahun 2022 di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di sini, pada Isnin.

 

Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata cabutan bertuah pada tahun ini  menawarkan 50 hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM59,200 serta menawarkan hadiah utama bernilai RM20,000.

 

Menurutnya, sehingga tarikh tutup penyertaan cabutan bertuah pada 28 Februari lalu, sebanyak 130,920 bil telah membuat pembayaran setahun dan mencatatkan jumlah bayaran lebihan sebanyak RM35.09 juta.

 

“Manakala bagi kutipan hasil keseluruhan mencatatkan RM83.1 juta berbanding RM81.5 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

 

“Pembayaran ini menunjukkan tanda-tanda positif penduduk Ipoh menyambut baik Bil Setahun Cukai Taksiran yang diperkenalkan serta cabutan bertuah yang dilaksanakan oleh MBI.

 

“Semoga warga Ipoh akan terus menjalankan tanggungjawab serta memberikan sokongan padu yang berterusan dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Bestari Sejahtera,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan hari ini.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ahmad Munir Ishak dan Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji) Dr Richard Ng.

#PerakKini #MBI #cabutanbertuah #cukaitaksiran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *