Cadang tambah bazar Ramadan tahun depan, bantu peniaga, penjaja kecil jana pendapatan tambahan

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta bercadang untuk menambah tapak bazar Ramadan pada tahun hadapan bagi memberi peluang peniaga-peniaga menambah pendapatan sepanjang bulan tersebut.
Pengerusinya, Zahari Abd Murad berkata setakat ini persatuannya sudah mempunyai tiga tapak lokasi bazar Ramadan di sekitar bandar raya Ipoh.
Menurutnya, tiga lokasi bazar Ramadan tersebut adalah di Taman Ipoh Jaya, Taman Cempaka dan yang terbaharu di Taman Tanjung Perdana, Tanjung Rambutan.
Katanya, ahli persatuan terbabit kebanyakannya daripada Tambun jadi mereka merancang untuk menambah tapak bazar Ramadan baharu di sekitar kawasan terbabit pada tahun hadapan.
“InsyaALLAH pada tahun depan kita akan cuba usahakan tapak-tapak yang baharu kerana ahli kita sudah lebih 1,000 orang dan ramai yang hendak berniaga di kawasan Tambun khususnya. Jadi, kita akan usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Perak Kini selepas ditemui di Bazar Ramadan Tanjung Perdana, Tanjung Rambutan di sini, pada petang Sabtu.




Sementara itu, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berharap PPPKM Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta dapat menambah tapak bazar Ramadan di beberapa lokasi baharu yang sesuai pada tahun hadapan.
“Tahun hadapan diharap lebih banyak lokasi (bazar Ramadan) dalam keadaan teratur dan sistematik di tempat orang Melayu kita seperti di Bandar Baru Putra atau khususnya dalam DUN (Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta yang ada pontensi (peniaga) untuk berniaga sewaktu bulan Ramadan serta untuk (peniaga) menjana pendapatan tambahan.
“Selepas dua tahun dalam keadaan pandemik tak boleh buat apa (peniaga tidak boleh berniaga), pada fasa endemik ini MBI telah beri kebenaran (kepada peniaga) untuk berniaga di bazar Ramadan.
“Semoga tahun hadapan MBI melalui Datuk Bandar Ipoh dapat memperluaskan bazar Ramadan ini,” katanya.
Terdahulu, Mazlan melawat dan menyerahkan Lesen Sementara Penjaja kepada peniaga-peniaga di Bazar Ramadan Tanjung Perdana, Tanjung Rambutan.
Lesen bernilai RM50 yang dikeluarkan MBI itu hanya sah untuk digunakan peniaga dan penjaja menjalankan perniagaan mereka di sepanjang bulan Ramadan ini.
#PerakKini #MBI #PPPKM #DaerahKinta #tapakbaharu #BazarRamadan
