PRIM Perak sumbang bakul makanan berjumlah RM20,000 kepada 100 penerima mualaf, asnaf

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perasaan terharu dan gembira terpancar di wajah warga emas Abdul Majid Abdullah, 66, yang terpilih menerima sumbangan bakul makanan Persatuan India Muslim (PRIM) Perak sempena sambutan Aidilfitri ini.

 

Dia yang menetap di Flat Ashby di sini bersama isteri dan enam orang anak menerima bantuan yang disampaikan  Pengerusi PRIM Perak, Mohamed Arib Aliah di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.

 

Abdul Majid berkata, dia yang menghidap penyakit diabetes kronik terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua kakinya sebanyak tiga kali antara tahun 2007 dan 2008.

 

Menurutnya, dia kini perlu bergerak menggunakan kerusi roda dan tidak mampu lagi bekerja disebabkan masalah kesihatan.

 

“Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH SWT kerana terpilih untuk menerima bantuan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

 

“Ini adalah kali pertama saya menerima bantuan sebegini. Terima kasih diucapkan kepada PRIM Perak yang prihatin dengan keadaan saya serta menghulurkan sumbangan bakul makanan pada hari ini,” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Arib berkata sebanyak 100 bakul makanan bernilai RM200 setiap satu sumbangan PRIM Perak diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar bandar raya ini.

Pengerusi PRIM Perak, Mohamed Arib Aliah (kanan) bersama beberapa AJK menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Abdul Majid Abdullah, di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.
Salah seorang penerima bantuan, Rudi Leong Ah Weng Abdullah menerima sumbangan bakul makanan, di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.
Pengerusi PRIM Perak, Mohamed Arib Aliah bersama beberapa AJK membaca doa pada program sumbangan bakul makanan sempena Aidilfitri, di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.
Pengerusi PRIM Perak, Mohamed Arib Aliah bersama sebahagian AJK yang menjayakan program sumbangan bakul makanan sempena Aidilfitri yang diadakan  di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.
Sebahagian penerima sumbangan bakul makanan sempena Aidilfitri bersama AJK PRIM Perak bergambar kenangan di hadapan premis Ariff Frozen Food, di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, sumbangan diberikan kepada warga emas, ibu tunggal, miskin, mualaf dan penduduk yang hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

 

Katanya, PRIM Perak sudah mengadakan penyampaian bantuan bakul makanan ini sejak tahun 2008 dan ia adalah acara tahunan yang dilaksanakan persatuan itu.

 

“Sumbangan bakul makanan ini adalah hasil usaha ahli jawatankuasa (AJK) PRIM Perak yang berkongsi rezeki dengan setiap ahli membeli barang-barang dapur sebelum dikumpulkan untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

 

“Selain itu, terdapat juga beberapa individu yang berbesar hati turut menyumbang untuk menjayakan program ini,” jelasnya.

 

Mohd Arib berkata pihaknya turut bercadang untuk menyampaikan bantuan yang sama di luar Ipoh dalam masa terdekat.

 

“InsyaALLAH, kita juga bercadang untuk memberi sumbangan 100 bakul makanan kepada keluarga asnaf di Bidor,” katanya.

 

Seorang lagi penerima bantuan, Rudi Leong Ah Weng Abdullah, 61, dari Taman Bercham Raya berkata pemberian bakul makanan itu sekurang-kurangnya dapat menjimatkan belanja dapur sempena Aidilfitri ini.

 

“Terima kasih kepada PRIM Perak yang tidak putus-putus membantu kami,” katanya yang sudah memeluk agama Islam sejak 35 tahun lalu.

#PerakKini #PRIM #sumbangan #Ramadan #Aidilfitri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *