Insiden tahanan depot lolos: Ambil iktibar, lebih hati-hati – MB

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kejadian warga asing yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang pagi tadi perlu dijadikan iktibar supaya tidak berlaku di negeri lain termasuk Perak agar lebih berwaspada terutamanya dari segi aspek keselamatan.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata insiden seperti itu tidak mustahil boleh berlaku di mana-mana depot imigresen di seluruh negara termasuk Depot Tahanan Imigresen (DTI) Langkap, di sini.

 

“Walaupun itu (DTI) bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri ‘per se’, tetapi ia terletak di Perak.

Antara wakil pasukan badan beruniform yang hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

 

“Sudah tentu saya berharap kejadian yang berlaku di Pulau Pinang itu kita ambil iktibar dan pihak yang bertanggungjawab di DTI Langkap ini di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah-langkah perlu.

 

“Sebab apa yang berlaku di Pulau Pinang itu tidak mustahil boleh berlaku juga di Langkap kalau kita tidak mengambil kira kreativiti mereka di dalam tahanan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berhubung insiden rusuhan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang membabitkan lebih 500 yang kemudiannya melarikan diri, pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata orang dalam tahanan ini sangat kreatif dan sentiasa mencari jalan untuk lari keluar.

 

“Orang dalam tahanan ini sangat kreatif dan jika dia dapat lari, itu satu kejayaan, satu kepuasan,” jelasnya.

 

Beliau juga turut menegaskan supaya pihak berkuasa yang menjaga dan mengawal DTI Langkap mengambil iktibar di atas kejadian di Pulau Pinang.

 

“Pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati supaya tidak alpa atau cuai kerana mereka di dalam tahan itu sentiasa mencari ruang dan peluang bila mana kita melakukan kecuaian dan kealpaan.

 

“Mereka (tahanan) sentiasa melihat apa yang pegawai-pegawai ini buat dan dia membaca gerak geri itu.
Keselamatan diri mesti diutamakan supaya tahanan itu tidak bolos keluar,” ujarnya.

 

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, seramai 528 tahanan etnik Rohingya bertindak memecahkan pintu blok dan besi penghadang Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang, sebelum melarikan diri.

 

Susulan kejadian itu, seramai enam warga asing termasuk dua kanak-kanak yang cuba menyeberangi Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer (KM) 165 dekat Nibong Tebal di sini maut dilanggar kenderaan ketika usaha melarikan diri pagi Rabu.

 

Mereka terdiri daripada dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang terbunuh di lokasi kira-kira pukul 6.50 pagi.

 

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya Kerajaan Negeri Perak kepada Pasukan Badan Beruniform di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

 

#PerakKini #lolos #rohingya #depot #imigresen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *