Klinik Briged Utara PGA perlu tambahan katil pesakit

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta memohon mana-mana pihak yang sudi mewakafkan atau menyumbangkan peralatan perubatan seperti katil pesakit untuk tampil membantu.

 

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata setakat ini klinik berkenaan hanya mempunyai 12 katil pesakit dan kesemuanya masih digunakan pesakit yang terdiri dalam kalangan anggota dan pesara PGA Ulu Kinta serta masyarakat di sekitar Ipoh.

 

Katanya, penambahan sebuah lagi katil pesakit dan juga kerusi tandas mudah alih ini secara tidak langsung dapat membantu pesakit kronik yang amat memerlukan.

Mohd Noh (dua kiri) selepas menerima sumbangan wakaf katil pesakit dan kerusi tandas mudah alih daripada Mazlan (dua kanan) di perkarangan Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta, pada Isnin.
Proses menurunkan katil pesakit yang dilakukan pegawai dan anggota Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta, pada Isnin.

“Alhamdulillah dengan penambahan sebuah katil lagi ini memudahkan pesakit-pesakit untuk meminjamkannya daripada Briged Utara.

 

“Pihak kami juga mengalu-alukan mana-mana badan yang bermurah hati untuk memberi sumbangan katil serta kerusi tandas mudah alih.

 

“Sumbangan itu secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan antara polis dengan masyarakat. Sejajar dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, katanya.

 

Beliau berkata ketika menerima wakaf katil pesakit dan kerusi tandas mudah alih daripada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman di perkarangan Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta, di sini pada Isnin.

 

Hadir sama, Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.

 

Dalam perkembangan sama, Mohd Noh berkata peralatan tersebut bersifat pinjaman jika tidak lagi digunakan ia akan dipulangkan semula supaya dapat beri manfaat kepada pesakit lain.

 

Tambahnya, selain anggota dan pesara PGA, orang awam juga boleh memohon untuk menggunakan katil berkenaan.

 

Sementara itu, Mazlan berkata beliau menyampaikan sumbangan wakaf katil elektrik dan kerusi tandas mudah alih itu memandangkan ramai pesakit kronik yang terlantar perlu menggunakanya.

 

Katanya, sumbangan kewangan bagi membeli katil elektrik dan kerusi tandas mudah alih itu adalah hasil perkongsian beliau bersama beberapa sahabat lain.

 

“Kerjasama antara saya dan warga PGA Ulu Kinta semakin erat sejak PGA Ulu Kinta dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan saya berharap ukhwah ini akan berterusan dari semasa ke semasa.

 

“Jika ada rezeki lebih, mungkin saya akan membantu menambah katil tersebut pada masa akan datang,” ujarnya.

#PerakKini #PGA #UluKinta #wakaf #katil

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *