Ops Gempur Pra Raya: 85 peratus premis tidak patuh Akta Kualiti Alam Sekeliling

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kira-kira 85 peratus atau 22 premis didapati tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam Operasi Gempur (Ops Gempur) Pra Raya yang dijalankan di di kawasan perusahaan Puncak Jelapang Maju, kawasan perindustrian Ringan Jelapang dan Meru di sini.

 

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata operasi yang diadakan bersempena Hari Bumi 2022 itu dilaksanakan selama tiga hari bermula Selasa lalu.

 

Menurutnya, operasi yang dijalankan secara bersepadu itu membabitkan 10 pasukan penguatkuasaan terdiri daripada 32 Anggota Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak.

 

“Daripada 26 premis yang diperiksa, hanya empat premis iaitu 15 peratus sahaja yang mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

 

“Objektif ia dilaksanakan ialah bagi memastikan semua jenis industri mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mencegah berlaku pencemaran alam sekitar serta tindakan bersepadu dengan mengoptimumkan sumber sedia ada,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Gempur Pra Raya di Pejabat JAS Perak, di sini, pada Khamis.

 

Hadir sama, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Cheah Pou Hian.

Mohd Akmal pada sidang media Ops Gempur Pra Raya di Pejabat JAS Perak, di sini, pada Khamis.
Mohd Akmal (dua kanan) pada sidang media Ops Gempur Pra Raya di Pejabat JAS Perak, di sini, pada Khamis.

Mohd Akmal berkata, operasi itu dilaksanakan susulan aduan yang diterima oleh pejabat Exco dan JAS berhubung pencemaran bau dari penduduk sekitar.

 

“Fokus utama diberikan kepada premis yang menghasilkan punca pencemaran utama iaitu udara, effluen dan buangan terjadual. Selain mengemaskini rekod inventori premis tersebut,” jelasnya.

 

Sementara itu, Rosli memaklumkan sebanyak 62 kompaun dan dua kertas siasatan dibuka pada operasi tersebut.

 

Katanya, maksimum kompaun yang akan dikenakan bagi satu kesalahan adalah RM2,000 dan jumlah kompaun yang dikenakan pada operasi ini adalah RM124,000.

 

“Bagaimanapun, setakat ini kompaun belum dikeluarkan lagi kerana ia memerlukan bukti sokongan yang lain. Kita akan lihat tindakan pembetulan yang dilaksanakan oleh mereka (pemilik premis/kilang) termasuk aspek keseriusan kesalahan,” ujarnya.

 

#PerakKini #JAS #OpsGempur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *