Jambatan Sungai Pari rosak, ancam keselamatan penduduk

Asmuni (duduk) menunjukkan struktur jambatan yang hanya menggunakan sekeping besi bagi menampan struktur konkrit di atas jalan.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Penduduk di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Chepor serta beberapa kampung berhampiran merayu pihak berkenaan agar menaik taraf Jambatan Sungai Pari yang menghubungkan kampung-kampung itu ke laluan utama di Bandar Meru Raya dan Jalan Kuala Kangsar.
Sejak tahun 2014 sehingga kini, lebih 10 kemalangan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan pengguna kenderaan yang melalui jambatan berkenaan.
Tinjauan mendapati, struktur jambatan itu agak lemah dan sekeping besi digunakan untuk menjadi penampan kepada konkrit lapisan di atas jalan berkenaan.
Rekahan jalan juga semakin besar dan melebar malah jika ada kenderaan berat lalu, rekahan itu akan patah kerana tidak dapat menampung berat yang melaluinya.

Seorang penduduk, Baharum Mohd Yusuf, 68, berkata masalah jambatan rosak itu bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak enam tahun lalu.
Menurutnya, keadaan permukaan jambatan yang tidak rata dan retak membahayakan pengguna jalan raya yang melalui jambatan itu terutamanya pada waktu malam.
“Bahayanya jambatan ini kerana jalannya tinggi rendah. Malah pernah berlaku beberapa kejadian kemalangan hingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan terbabit.
“Banyak kenderaan terutamanya daripada Jalan Kuala Kangsar dan penduduk berhampiran seperti dari Taman Tasek Damai, Klebang melalui jambatan itu yang menjadi jalan pintas untuk ke Bandar Meru Raya,” katanya.

Dia ditemui media ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi bersama-sama penduduk RPT Chepor meninjau keadaan terkini jambatan itu pagi tadi.
Baharum yang tinggal di RPT Chepor sejak tahun 1990 berharap pihak yang berkaitan dapat membina jambatan baharu yang lebih teguh dan selamat untuk laluan kenderaan.
Sementara itu, Asmuni berkata beliau telah menyuarakan isu ini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu dan Exco Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun memaklumkan perancangan pembinaan jambatan baharu adalah di bawah peruntukan dan seliaan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta.
Katanya, ia di bawah projek menaik taraf jambatan penghubung antara Kampung Seri Klebang dan RPT Chepor.
“Pada masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak diminta untuk merekabentuk dan menilai kos jambatan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
“JPS juga telah menjalankan kerja siasatan tapak dan proses pengukuran tapak. Proses rekabentuk jambatan dijangka siap awal 2022,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata sehingga hari ini, kerja-kerja menaik taraf jambatan itu masih belum dilaksanakan.
Sehubungan itu Asmuni berharap isu ini dapat diselesaikan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku ke atas pengguna jambatan tersebut.
#PerakKini #jambatansungaipari #rosak #bahaya #Chepor #Ipoh
