Peniaga Pasar Tanjung Rambutan mohon selesai masalah tandas berkunci, infrastruktur

Pasar Tanjung Rambutan.

Oleh Rosdalilah Zahari

TANJUNG RAMBUTAN – Lebih 100 peniaga di Pasar Awam dan Medan Selera Tanjung Rambutan di sini berdepan dengan beberapa masalah antaranya keadaan infrastruktur kurang memuaskan serta tandas berkunci.

Peniaga barangan runcit, Mohd Ramli Idris, 57, berkata masalah kebersihan antara perkara yang tidak pernah berakhir sejak pasar ini beroperasi.

Dia yang sudah berniaga sejak 1997 berkata, jika semua peniaga bersatu hati bergotong royong untuk membersihkan pasar tersebut bersama-sama sudah pasti masalah itu akan selesai.

“Selain isu kebersihan, tandas berkunci juga menimbulkan masalah besar kepada peniaga dan pengunjung pasar.

“Jadi saya mencadangkan tender dibuka supaya ada pihak yang dapat menjaga kebersihan tandas dengan baik agar tiada lagi masalah tandas berkunci pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini pada Ahad.

Mohd Ramli Idris.

Susulan aduan yang dibuat oleh peniaga, Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman bertindak mengadakan lawatan mengejut pada hari ini bagi meninjau sendiri masalah-masalah yang dihadapi peniaga di pasar berkenaan.

Menurutnya, selain masalah infrastruktur seperti longkang tersumbat dan kebersihan, penebat kilat yang dipasang di pasar tersebut didapati hilang dipercayai dicuri.

“Kecurian penebat kilat di pasar ini amat membimbangkan kerana boleh membahayakan peniaga dan pengunjung pasar.

“Masalah pembuangan sampah daripada luar ke pasar ini juga harus diberi perhatian kerana longgokan itu secara tidak langsung menimbulkan bau busuk serta tidak selesa kepada peniaga dan pelanggan,” ujarnya.

Mazlan meninjau sekitar Pasar Awam Tanjung Rambutan dan mendengar aduan peniaga pada Ahad.

Berikutan itu, Mazlan berkata beliau akan memaklumkan kepada Jurutera MBI agar turun padang dan melihat sendiri masalah tersebut dalam masa terdekat.

“Sehubungan itu, saya berharap segala aduan yang dikemukakan berhubung pasar ini dapat diselesaikan segera demi keselesaan peniaga dan pembeli,” katanya lagi.

Hadir sama, Ketua Kampung Baru Cina Tanjung Rambutan, Alan Kok Mun Choong dan Pegawai Perhubungan Ketua Whip MBI, Mohammed Alias Tambi.

Keadaan di dalam Pasar Awam Tanjung Rambutan.

#PerakKini #pasarawam #aduan #TanjungRambutan #Ipoh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *