Lebih 1,000 sertai Warisan di Perak

Shafie menerima borang keahlian daripada wakil ahli Warisan Perak, Datin Noor Hasnida Mohd Hashim pada Majlis Penyerahan Borang Keahlian dan Sembang Santai di Taman Shatin, di sini pada Sabtu.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lebih 1,000 orang menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Warisan (Warisan) membabitkan lima bahagian di Perak hari ini.
Lima bahagian itu adalah Ipoh Timur, Ipoh Barat, Tambun, Padang Rengas dan Parit.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jumlah itu dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa kerana orang ramai yang berminat untuk menyertai Warisan boleh berbuat demikian dengan mendaftar untuk menjadi ahli secara dalam talian (online).
“Hari ini kita dapat 1,000 lebih ahli di Perak dan beberapa ribu lagi bakal menyusul.
“Warisan juga mendapat maklum balas yang menggalakkan antaranya termasuklah di Johor dan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Borang Keahlian dan Sembang Santai di Taman Shatin, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, menyentuh jumlah kerusi yang bakal Warisan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Shafie berkata parti terbabit amat selektif untuk meletakkan calon di kawasan yang dilihat berpotensi untuk menang.
“Kita tidak akan bertanding di semua kerusi yang ada (pada PRU15) dan kita akan selektif.
“Setakat ini, kita sudah meminta pada ahli supaya melihat mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita yakin ada potensi boleh menang termasuk di Perak,” jelasnya.
Menurutnya, bukan mudah untuk parti yang baru menapak di Semenanjung Malaysia namun percaya Warisan sudah mula mendapat tempat di hati rakyat.
“Mungkin kita akan mengadakan gabungan selepas atau sebelum pilihan raya kita melalui smart partnership dengan parti lain.
“Bagaimanapun, pada ketika ini kita sedang cuba memperkukuhkan kedudukan parti agar mendapat kestabilan politik di Malaysia,” jelasnya.
Pada Mac lalu, Warisan buat pertama kali bertanding di Semenanjung Malaysia dengan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor namun kalah di semua kawasan.
Calon-calon yang mewakili Warisan pada PRN Johor semua kehilangan deposit dan mereka ialah Hishamuddin Busri (Pekan Nanas), Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lew Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas).
#PerakKini #Warisan #ahli #baharu #Perak
