BN Gopeng lancar jentera pilihan raya

Oleh Rosdalilah Zahari
GOPENG – Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Gopeng yang berlangsung baru-baru ini memperlihatkan semangat kerjasama jitu bagi memastikan BN dapat menawan kembali kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Majlis ini dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada pemimpin dan ahli parti-parti komponen di Gopeng dan disempurnakan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, jentera BN Perak sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.
“DUN Perak akan dibubar serentak dengan pembubaran Parlimen untuk mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Gopeng di Wisma UMNO Perak, di sini.
Pada majlis itu Saarani turut menyerahkan bendera BN kepada setiap pengerusi parti komponen di Gopeng sebagai simbolik permulaan gerak kerja jentera parti menghadapi PRU15..
“Saya amat yakin pengundi kali ini akan membuat pilihan yang bijak dengan memilih calon BN kerana BN terbukti mempunyai kemampuan mentadbir negara serta negeri dengan lebih baik demi kestabilan dan pembangunan masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi BN Gopeng, Datuk Hang Tuah Din berkata, kesatuan antara parti-parti komponen BN Gopeng amat kuat dan komited serta sentiasa berganding bahu demi berkhidmat untuk rakyat Gopeng.
“BN Gopeng juga sebulat suara bersetuju mencalonkan Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai satu-satunya calon Menteri Besar Perak sekiranya BN menang dalam PRU15 nanti.
“Kami yakin di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad, BN Perak akan menang besar dalam PRU15 ini,” katanya.
Pengerusi MCA Bahagian Gopeng, Patrick Ewe berkata, gabungan parti BN masih relevan dengan pendekatan berkongsi kuasa, permuafakatan, persefahaman, perundingan dan sifat kesederhanaan yang diterima semua kaum.
“Bagi BN Gopeng, semangat kerjasama adalah aset paling penting dan berkuasa untuk kami memenangi PRU-15,” jelasnya.
#PerakKini #BNGopeng #PRU15 #Perak
