Tong sampah percuma: MBI selesai agih lebih 20 peratus kepada kediaman di Ipoh

Rumaizi menunjukkan cara lori sampah compactor berfungsi di hadapan Dewan Mesyuarat Bangunan MBI pada Jumaat.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Lebih 20 peratus tong sampah sudah diagihkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan syarikat konsesi Maju Majuperak Utilities Management Sdn Bhd (Majuperak) kepada kediaman di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata terdapat 230,000 kediaman serta premis perniagaan di Ipoh dan daripada jumlah itu sebanyak 40,000 tong sampah percuma sudah diagihkan.

Menurutnya, pemberian tong sampah secara percuma ini masih diteruskan dari semasa ke semasa sehingga selesai.

“Secara kasar MBI dan syarikat konsesi Majuperak telah mengedarkan 40,000 tong sampah kepada penduduk.

“Dalam 40,000 ini, lebih daripada 20 peratus isi rumah yang sudah kita bekalkan tong sampah percuma untuk kediaman sahaja,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas majlis perasmian pelepasan dua unit lori rigid sampah (compactor) Isuzu baharu untuk Jabatan Perkhidmatan Perbandaran selepas selesai menghadiri Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai 2022  di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak, Ketua-ketua Whip Ahli Majlis MBI dan ahli-ahli majlis MBI.

Dua unit lori sampah baharu ini adalah tambahan kepada dua unit yang dilancarkan terdahulu menjadikannya empat unit lori bernilai RM1.6 juta.

Lori sampah itu diharap dapat membantu kerja-kerja kutipan sampah MBI bagi mencapai hasrat menjadikan Ipoh Bandaraya Terbersih menjelang 2023.

Menyentuh isu sampah haram yang masih belum berkesudahan, Rumaizi berkata MBI akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang masih degil membuang sampah haram di merata-rata tempat.

“Kita akan ambil tindakan lebih tegas terhadap isu sampah haram dan kita akan umumkan mengenai perkara itu dengan lebih terperinci pada minggu hadapan,” jelasnya.

#PerakKini #MBI #tongsampah #percuma #sampahharam #Ipoh

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *