KPDNHEP Perak rampas minyak wangi, pelembap badan dipercayai tiruan

KPDNHEP Perak rampas minyak wangi dan pelembap badan pelbagai jenis dipercayai tiruan dalam operasi baru-baru ini. - Foto: KPDNHEP Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 3,000 minyak wangi dan 426 unit pelembap badan pelbagai jenis dipercayai tiruan dengan nilai rampasan berjumlah RM80,375, Rabu lalu.
Pengarahnya, Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata rampasan itu dilakukan dalam operasi di tiga premis berasingan sekitar Ipoh membabitkan 15 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Perak.
Menurutnya, pihaknya mendapati premis terbabit disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah sepertimana di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Selain minyak wangi dan pelembap badan, kita turut merampas tanda harga, resit-resit dan dokumen peniagaan di premis terbabit.
“Semua kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 di bawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Sekiranya yang terbabit adalah pertubuhan perbadanan, dan mereka akan didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar jika sabit kesalahan.
“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah sekiranya individu terbabit bukan pertubuhan perbadanan, mereka akan didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Katanya, bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang- barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
#PerakKini #KPDNHEP #rampas #barangtiruan #Ipoh #Perak
