Pesawat ringan terhempas, 1 maut, 1 cedera

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pesawat ringan jenis Piper PA 28 yang terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah – Sungai Rokam berhampiran jejantas menuju ke Sungai Pinji dekat Medan Gopeng, di sini, malam tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala yang cedera disahkan sebagai Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kedua-dua mangsa adalah jurulatih penerbangan di sebuah sekolah penerbangan di sini.

Menurutnya, mangsa maut berusia 52 tahun beralamat di Semenyih, Selangor manakala mangsa cedera beralamat di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Katanya, pesawat tersebut bertolak dari sekolah latihan penerbangan sebelum dilaporkan terhempas kira-kira jam 8.05 malam.

“Keluarga kedua-dua mangsa terlibat sudah dimaklumkan berhubung insiden tersebut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Mangsa maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan mangsa cedera turut dibawa ke hospital sama.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 malam dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati sebuah kapal terbang bersaiz kecil terhempas.

Tinjauan Perak Kini setakat jam 10.32 malam tadi, bangkai pesawat masih belum dialih daripada lokasi kejadian.

#PerakKini #pesawatringan #terhempas #Ipoh

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *