UMNO tidak pernah berpakat dengan DAP untuk jatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Kita tidak pernah berbincang dengan DAP. Mana ada kita ada perbincangan dengan DAP untuk jatuhkan Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu). Tak ada,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Saarani berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Faizal dalam satu rancangan temubual semalam yang mendakwa bahawa kejatuhan beliau sebagai Menteri Besar adalah disebabkan oleh pakatan UMNO dan DAP pada Disember 2020.
Menurutnya, jika UMNO berniat jahat untuk menjatuhkan Ahmad Faizal, pastinya perkara itu berlaku lebih awal sewaktu proses pertukaran Speaker Dewan Undangan Negeri pada Jun tahun yang sama.
“Kalau kita bersepakat waktu itu DAP hendak buat usul undi tidak percaya, kita dah sokong usul tu, betul tak?
“Memang ada usaha DAP untuk membuat usul undi tidak percaya. Kalau kami bersepakat kami sokong usul itu, tapi tak, kita buat usul lain, usul percaya.
“Kalau UMNO ini jahat bukanlah pada 10 Disember 2020, pada bulan puasa, bulan Jun sewaktu kita menukar speaker, waktu itu sudah ada usul satu usul DAP usul undi tidak percaya kepada (Ahli Dewan Undangan Negeri) Chenderiang.
“Kalau UMNO jahat waktu itu kita sudah sokong usul itu. Bagaimanapun, kita tidak jahat dan tidak pernah untuk membuat kerja itu pada bulan puasa,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Bantuan Banjir Barisan Nasional Perak di Bangunan UMNO Perak, pada Rabu.
#PerakKini #UMNO #DAP #Perak
