BN curi orang PH ke, PH curi orang BN? Cermin diri sendiri – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – “Ini satu lawaklah. Tengok sejarah 2018. BN (Barisan Nasional) curi orang PH (Pakatan Harapan) ke, PH curi orang BN?

“You tanya Nga Kor Ming masa PRU 2018 semasa PH membentuk kerajaan, dia yang curi orang BN bukan BN curi orang dia. Lawak tu, cermin diri sendiri”, kata Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang mendakwa kerajaan negeri tidak mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bagi membolehkan BN mencuri ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas PRU.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak berniat untuk melengah-lengahkan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.

“Kita punya pendirian hari itu adalah untuk membolehkan kerajaan negeri Perak membawa usul ke Dewan Negeri kita hendak gunakan Jadual 8 (Perlembagaan Persekutuan) dan kita perlu memanggil Sidang DUN.

“Sebarang notis usul memerlukan masa sekurang-kurangnya 14 hari untuk memanggil Sidang DUN namun perkara itu terlalu suntuk untuk diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Bantuan Banjir Barisan Nasional Perak di Bangunan UMNO Perak, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata ketika RUU itu diwartakan baru-baru ini, beliau berada di Belgium untuk lawatan kerja dan tidak sempat untuk membincangkannya dalam mesyuarat Exco bagi tujuan membawa usul untuk mengadakan Sidang DUN khas.

Isnin lalu Kor Ming mendakwa, tindakan memohon pembubaran DUN tanpa meluluskan RUU berkenaan dilihat sebagai taktik BN untuk menarik wakil rakyat untuk lompat parti pada PRU15.

#PerakKini #RUULompatParti #PRU15 #Perak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *