Potong gaji jika jadi PM hanya omong kosong Anwar – Cally Ting

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Janji Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat untuk memotong elaun dan gajinya demi membantu rakyat jika dilantik menjadi Perdana Menteri dilihat sebagai omongan kosong semata-mata.

Penyelaras MCA Parlimen Gopeng, Cally Ting Zhao Song (gambar) berkata rakyat Perak terutamanya pengundi di Parlimen Tambun diminta jangan sesekali terpedaya dengan janji manis Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Menurutnya, Ketua Pembangkang itu perlu menetapkan pendirian demi menunjukkan keikhlasan beliau kepada rakyat.

“Semasa beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang tiga tahun lalu, jawatan ini setaraf dengan menteri dengan gaji mencecah RM33,000. Ini tidak termasuk elaun pakaian sebanyak RM9,000.

“Jika benar Anwar seorang yang prihatin dengan nasib rakyat, sejak awal lagi beliau tidak akan mengambil gaji dan elaun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Cally Ting turut menegaskan bahawa Anwar perlu membuktikan keikhlasan beliau dan bukan sekadar bercakap di pentas sahaja.

“Buktikan kepada rakyat jika beliau telah menolak gaji atau elaun sebagai Ketua Pembangkang PH,” ujarnya.

Pada 20 Oktober lalu, Anwar dalam ucaptama pada Konvensyen Harapan 2022 memberi jaminan akan melakukan pemotongan gaji dan elaun sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Katanya, itu adalah perkara pertama yang akan dilakukan susulan keadaan ekonomi yang didakwa semakin mencengkam rakyat di pelbagai peringkat.

#PerakKini #BarisanNasional #BN #Gopeng

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *