PRU15: Tambun bukan medan pertembungan peribadi Anwar dan Peja

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Serangan peribadi yang dilakukan sesetengah pihak ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perkara yang biasa berlaku setiap kali menjelang pilihan raya.

Justeru, beliau mengambil pendekatan untuk tidak melayan sebarang bentuk serangan peribadi terutamanya membabitkan penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, sewaktu beliau dalam UMNO, bapa iaitu Allahyarham Datuk Azumu Tak dan bapa mertua Ahmad Faizal, Datuk Mohammed Radzi Manan adalah rakan baiknya.

“Saya tidak mahu melayani pertembungan peribadi terutama saudara Peja kerana ayahnya sahabat baik saya, ayah mentuanya, juga sahabat baik saya yang merupakan tokoh yang banyak membantu saya ketika dalam UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi.

Khamis lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ketika berucap pada Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu yang menang bertanding atas tiket PH pada PRU14 lalu undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (Barisan Nasional) dan Ibrahim Zakaria (Pas).

#PerakKini #PakatanHarapan #PH #PKR #Bersatu #PRU15 #ParlimenTambun

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *