PRU15: BN Perak dijangka umum calon 2 November ini

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak dijadualkan akan mengumumkan senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Rabu depan (2 November).
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tarikh itu diambil kira memandangkan 4 November adalah cuti umum Hari Keputeraan Sultan Perak.
Menurutnya, senarai lengkap calon dijangka akan sampai pada 1 November dan pengumumannya boleh dilakukan sehari selepas itu.
“Saya kena ambil kira 4 hari bulan adalah cuti umum jadi mungkin ada kakitangan kerajaan yang terlibat dengan kerajaan negeri dia kena melalui proses meletakkan jawatan.
“Jadi seboleh mungkin kita nak mengelakkan dia daripada lanjut sampai hari Jumaat sebab hari itu pejabat tutup (sebab cuti umum).
“Ini bermakna di negeri Perak kita akan cuba untuk membuat pengumuman lebih awal jika kita dapat senarai lebih awal.
“Saya jangka senarai akan sampai ke tangan kita pada 1 hari bulan, jadi 2 hari bulan kita sudah boleh buat pengumuman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan YTL Communications Sdn Bhd bagi projek rangkaian 5G di bangunan MBI pada Khamis.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd, Lee Wing Kui.
#PerakKini #BarisanNasional #BN #calon #PRU15
