Amanah Perak tampil lebih 50 peratus muka baharu pada PRU15

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mempertaruhkan lebih 50 peratus calon muka baharu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata Amanah Perak menampilkan 15 calon muka baharu di 12 kerusi DUN dan tiga Parlimen di negeri itu.
Menurutnya, DUN yang menampilkan muka baharu adalah Pengkalan Hulu, Kota Tampan, Kubu Gajah, Gunung Semanggol, Lubok Merbau, Manong, Belanja, Ayer Kuning, Kampong Gajah, Rungkup, Changkat Jong dan Behrang manakala Parlimen pula membabitkan Larut, Bukit Gantang dan Parit.
Tambahnya, parti itu akan bertanding di enam kawasan parlimen dan 20 kerusi DUN yang merupakan penambahan dua kerusi parlimen dan lapan kerusi DUN berbanding PRU lalu.
Katanya, terdapat beberapa calon DUN dan Parlimen yang akan mengekalkan kerusi dimenangi mereka pada PRU14 yang lalu.
“Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar bersama penyandang kerusi Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Ramli.
“Manakala, penyandang kerusi DUN Sungai Rapat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut disenaraikan semula bagi mempertahankan kerusi di kawasan tersebut,” katanya.
Asmuni sendiri akan mengekalkan kerusi disandangnya sebelum ini iaitu di DUN Manjoi.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan senarai calon Amanah Perak, di Wisma Amanah Perak, di sini pada Jumaat.
Menyentuh mengenai Nik Omar Nik Abdul Aziz iaitu anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim akan bertanding di Perak, Asmuni berkata beliau tiada maklumat berhubung perkara itu
“Itu saya tak tahu, saya tak ada maklumat mengenainya, baik tanya dia sendiri,” katanya.
#PerakKini #AmanahPerak #PakatanHarapan #Perak #PRU15
SENARAI CALON PRU15 AMANAH PERAK
PARLIMEN
P56 Larut: Zolkarnain Abidin
P57 Parit Buntar: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
P59 Bukit Gantang: Fakhruldin Mohd Hashim
P67 Kuala Kangsar: Ahmad Termizi Ramli
P69 Parit: Nurthaqaffah Nordin
P74 Lumut: Mohd Hatta Md Ramli
DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN)
N01 Pengkalan Hulu: Mohd Saad Ismail
N04 Kota Tampan: Mohd Sabri Abdul Manaf
N05 Selama: Razali Ismail
N06 Kubu Gajah: Mohd Nazri Din
N08 Titi Serong: Muhammad Nakhaie Wahab
N11 Gunung Semanggol: Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar
N12 Selinsing: Ahmad Saqif Ansarallah Ahmad Jihbaz Mokhlis
N14 Changkat Jering: Megat Shariffudin Ibrahim
N16 Kamunting: Muhd Fadhil Nuruddin
N20 Lubok Merbau: Zaiton Latiff
N23 Manjoi: Datuk Asmuni Awi
N35 Manong: Mohd Jamsari Mahamood
N39 Belanja: Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
N44 Sungai Rapat: Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin
N48 Ayer Kuning: Mohd Nazri Hashim
N50 Kampong Gajah: Mohd Syamsul Alauddin
N51 Pasir Panjang: Yahaya Mat Nor
N53 Rungkup : Ahmad Munzirie Ahmad Kabir
N56 Changkat Jong : Muhaimin Sulam
N59 Behrang : Khairol Najib Hashim
