Penghantar makanan terima helmet percuma

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kecekalan penghantar makanan atau perkhidmatan e-hailing ketika melaksanakan tanggungjawab perlu dihargai masyarakat.
Justeru, Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman meluangkan masa bertemu mereka yang berkecimpung dalam perkhidmatan e-hailing ini di Taman Perpaduan, Ulu Kinta malam tadi.
Kira-kira 60 ahli Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP) menghadiri pertemuan santai itu.
Mazlan berkata perjumpaan tersebut bertujuan untuk mendekati penghantar makanan di sekitar bandar raya ini serta membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan mereka.
“Pada malam ini saya turut menyumbangkan topi keledar sebagai tanda penghargaan dan penat jerih penghantar makanan di Ipoh.
“Selain itu, saya akan cuba merealisasikan permintaan mereka untuk mendapatkan kit keselamatan seperti pad siku, pad lutut dan sarung tangan dalam masa terdekat.
“Justeru, saya berharap mereka yang terbabit dalam perkhidmatan penghantar makanan ini akan terus dimurahkan rezeki dan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PKPPBP, Mohd Azad Mohd Hussain berkata pertemuan tersebut bukan yang pertama antara mereka dan Mazlan.
“Datuk Mazlan banyak menjalankan pelbagai aktiviti khas bersama rider serta membantu kami antaranya adalah pemberian vaksin.
“Saya mewakili persatuan mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mazlan dan berharap ukhuwah yang terjalin akan berkekalan,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKPPBP, Mohamad Izhar Mohd Noh atau lebih mesra disapa Pak Long.
PKPPBP adalah sebuah persatuan yang ditubuhkan lebih kurang setahun lalu bagi menjaga kebajikan penghantar makanan.
Setakat ini, seramai 150 ahli sudah berdaftar dengan persatuan tersebut dan jumlahnya dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa.
#PerakKini #MBI #ehailing #rider #penghantarmakanan #Ipoh



