Tambun, Larut dan Bagan Datuk zon ‘panas’ PRU15
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis Perak mengenal pasti tiga lokasi sebagai lokasi panas atau hotspot di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata tiga lokasi tersebut adalah Parlimen Tambun, Parlimen Larut dan Parlimen Bagan Datuk.
Menurutnya, lokasi berkenaan diklasifikasikan sebagai lokasi panas berdasarkan calon-calon yang bertanding.
“Setakat ini, mengikut laporan yang diterima hanya tiga kawasan ‘hotspot’ di Perak iaitu di (Parlimen) Tambun, Larut dan Bagan Datuk.
“Kita akan mengenal pasti dan membuat kajian jika berlaku pertembungan dan kecenderungan berlakunya ketidakamanan, kita akan menambah kekuatan anggota di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Khamis.
Menyentuh mengenai kekuatan anggota yang akan bertugas sepanjang PRU15 ini, Mohd Yusri berkata seramai 7,963 pegawai dan anggota terlibat sepanjang PRU berlangsung.
Katanya, mereka akan ditugaskan pada hari penamaan calon, berkempen, undi awal dan hari mengundi.
Beliau berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada polis bantuan membabitkan 254 anggota dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) seramai 1,540 orang yang aman membantu mengawal lalu lintas pada hari penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Yusri turut menasihati kepada parti politik dan calon bertanding supaya sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Justeru, mereka yang terbabit diminta untuk berkempen secara berhemah dan professional.
“Jangan ada provokasi yang berlebihan terhadap isu-isu sensitif seperti isu agama, perkauman serta institusi diRaja yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan perpaduan,” katanya.
#PerakKini #PDRM #Perak #PRU15