MBI arah pengusaha pelancongan di kawasan berisiko henti operasi

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meminta semua pengusaha pelancongan di kawasan berisiko tanah runtuh dan kepala air di bandar raya ini untuk menghentikan operasi buat sementara waktu.
Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin berkata notis pemakluman akan dihantar kepada semua pengusaha pada 19 Dis (Isnin) ini bagi memastikan arahan itu dipatuhi.
“Untuk makluman kita sebenarnya telah tutup dua kawasan yang dilihat berisiko berlaku kejadian ini (tanah runtuh, kepala air) iaitu di Kledang Saiong Forest Eco Park, Meru serta Bukit Bangkong, Chemor sejak awal November lalu.
“Kita ambil tindakan ini juga selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geosains iaitu mereka memaklumkan bahawa tanah di kawasan itu agak lembut disebabkan kadar hujan yang agak tinggi serta boleh mengundang risiko kepada pengunjung,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Pusingan Akhir Battle Of The Buskers di Lorong Seni@Lorong Panglima di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi berhampiran tanah tinggi dan sungai di seluruh negara dikosongkan segera.
Hal itu susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, awal pagi semalam yang telah mengorbankan 21 nyawa daripada keseluruhan 94 mangsa.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata pihaknya dalam proses permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengiktiraf bandar raya Ipoh sebagai salah satu lokasi bandar kreatif di dunia berasaskan tema muzik.
Katanya permohonan berkenaan perlu dihantar sebelum 30 Jun tahun depan dan buat masa ini pihaknya sedang menyiapkan beberapa dokumentasi sepertimana dikehendaki UNESCO.
“Kalau ada rezeki, pada November tahun depan kita akan dapat pengiktirafan namun ia perlu mengambil kira pelbagai faktor yang merangkumi pembangunan infrastruktur, masyarakat dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA
