Sidang DUN Perak: Kerajaan negeri tingkat inisiatif bantu peniaga kecil, penjaja

Foto: Korporat SUK Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan negeri mengatur pelbagai inisiatif bagi membantu peniaga kecil dan penjaja supaya bantuan dapat diberikan kepada kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri juga komited untuk terus sedaya upaya menyediakan pelbagai kemudahan kepada peniaga kecil dan penjaja agar kelangsungan perniagaan dan punca pendapatan golongan ini dapat terus diupayakan.
Menurutnya, bagi tahun 2023, langkah lebih strategik akan dirangka segera agar setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi tujuan pembangunan dan
pengupayaan usahawan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
“Aspek bantuan kewangan kepada usahawan turut akan diberi perhatian supaya dana pusingan modal perniagaan dan pembelian barangan perniagaan dapat disalurkan secara bersasar yang sekaligus memberi penumpuan kepada peningkatan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.
“Kerajaan juga akan turut berusaha untuk menyediakan ruang dan peluang terbaik bagi meningkatkan usaha pemasaran yang diyakini mampu membuka pasaran baru kepada para peniaga dan penjaja bagi meningkatkan pendapatan semasa mereka,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri amat memahami keluh kesah yang dihadapi oleh masyarakat usahawan khususnya penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat penutupan perniagaan sepanjang pandemik Covid-19.
“Susulan itu, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi sejak 2021 bagi meningkatkan pendapatan peniaga kecil dan penjaja.
“Antaranya, bantuan khas ‘one off’ RM300 kepada 41,730 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan peruntukan sebanyak RM14.16 juta.
“Selain itu, Geran Usahawan Perak (GeRUP) iaitu bantuan ‘one off’ berjumlah RM3,000 bertujuan membantu usahawan mikro bumiputera Perak yang tercicir daripada mendapat bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 1.0 dan GKP 2.0 yang melibatkan seramai 619 usahawan,” katanya.
Beliau berkata pemberian diskaun bayaran air secara bersasar kepada pelanggan – pelanggan perniagaan dan industri yang terkesan dengan kos RM500,000 dan pengecualian sewa 10,264 gerai di bawah PBT turut dilaksanakan membabtikan implikasi kewangan RM1.6 juta.
“Pengecualian bayaran pembaharuan 220 lesen pusat kecantikan dan spa serta 565 hotel yang berdaftar di bawah PBT melibatkan implikasi kewangan RM570,000 serta kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak dan pinjaman mikro kredit Yayasan Bina Upaya yang melibatkan 743 peminjam,” ujarnya.
Bagi usahawan dalam sektor pertanian, Salbiah memaklumkan kerajaan negeri memberikan beberapa inisiatif kepada petani, penternak dan nelayan seperti bantuan input ladang dan ternakan, pemberian benih dan peralatan aktiviti penuaian hasil pertanian, program pembangunan modal insan serta kotak makanan.
Katanya, kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Usahawan (STeP) dengan kerjasama jabatan dan agensi berkaitan pembangunan usahawan turut menggerakkan pelbagai inisiatif terutama dalam meningkatkan semula pendapatan mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap segala inisiatif dan langkah strategik yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak dapat membantu peniaga kecil dan penjaja dalam membantu menjana semula pendapatan melalui perniagaan masing-masing.
#PerakKini #SidangDunPerak #peniagakecil #penjaja #bantuan
