Sidang DUN Perak: 2,876 rumah PPR sudah dibina di Perak, 1,378 dalam senarai menunggu

Foto: Korporat SUK Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Program Perumahan Rakyat (PPR) adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata setakat ini terdapat 16 PPR di seluruh Perak dengan 2,876 unit rumah telah dibina.

Menurutnya pada tahun ini kerajaan negeri menerima 1,378 permohonan bagi PPR namun kebanyakkan terpaksa dimasukkan dalam senarai menunggu.

“PPR adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan yang merupakan agensi pelaksana utama bagi projek-projek PPR di seluruh Malaysia.

“PPR dilihat mendapat permohonan yang tinggi dan keperluan mendesak, justeru kerajaan sentiasa berusaha untuk membina lebih banyak PPR bagi membantu memenuhi permintaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15, pada Khamis.

Sandrea Ng berkata, setakat ini kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) mencadangkan empat tapak bagi pembinaan PPR ini kepada pihak kementerian.

“Sehubungan itu, kita berharap permohonan tersebut akan diluluskan dalam masa terdekat supaya dapat membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan rumah PPR ini,” ujarnya.

#PerakKini #SidangDun #Perak #PPR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *