Polis siasat video tular pembakaran mercun, bunga api secara besar-besaran di Simpang Pulai

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis bertindak membuka kertas siasatan susulan video tular pembakaran mercun dan bunga api secara besar-besaran di Kampung Baru, Simpang Pulai di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya mengesan video berdurasi 13 minit 46 saat itu mula tular di Facebook sejak semalam.
Menurutnya, semakan mendapati kejadian itu berlaku pada 23 Januari (Isnin) lalu lebih kurang jam 8 malam.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1967 (Akta 207) serta Seksyen 286 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan media pada Rabu.
Beliau turut menasihati orang awam supaya tidak melakukan sebarang aktiviti berbahaya yang boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan nyawa dan harta benda orang awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbahaya seperti ini,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #video #tular #mercun #bungaapi
