“Projek ladang hutan Kledang Saiong masih belum dapat kelulusan EIA” – MB Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Kuala Kangsar yang dianggarkan seluas 4,200 hektar masih belum mendapat kelulusan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA), kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun, beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak sudah meluluskan rancangan bagi projek tersebut namun ia masih belum dilaksanakan.

“Projek ini belum dimulakan dan developer (pemaju) perlu mendapatkan kelulusan EIA. Jika dia (pemaju) tidak dapat kelulusan EIA dia tidak dapat meneruskan projek itu kerana itu peraturannya.

“Developer (pemaju) juga perlu melalui public hearing (pendengaran awam). Jadi, orang ramai boleh memberi pandangan dan pendapat tetapi ia tertakluk kepada EIA kerana EIA yang akan membuat keputusan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP) di Hotel Kinta Riverfront, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saarani menjelaskan bahawa projek itu bukan satu perkara haram sebaliknya dilaksanakan mengikut peraturan.

“Ini bukan perkara haram, sebaliknya ia dibuat mengikut peraturan. Bagaimanapun, ia bukan dibuat pada zaman saya menjadi Menteri Besar, tetapi telah diluluskan sebelum ini.

“Berdasarkan maklumat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dahulu pada awalnya meluluskan (permohonan) tanah seluas 100,000 hektar untuk projek ladang hutan di Perak.

“Tetapi akhirnya Exco Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk mengurangkannya daripada 100,000 hektar kepada 75,000 hektar kemudiannya 35,000 hektar yang akhirnya 32,000 hektar sahaja,” katanya.

Beliau berkata syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan projek itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian.

“Syarikat yang diberikan kebenaran untuk menjayakan projek ladang hutan itu perlu menanam semula pokok hutan tetapi ia tak boleh tebang sekali gus kerana boleh menyebabkan banjir.

“Penebangan itu dilakukan secara berperingkat dan masing-masing diberikan petak kawasan dengan tebang dilakukan satu per satu petak, yang disusuli dengan tanaman pokok hutan baharu serta dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Hutan Negeri Perak,” jelasnya.

Baru-baru ini, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D M Jeyakumar melalui ciapan di akaun Twitternya menyifatkan projek itu sebagai satu idea sangat teruk.

#PerakKini #HutanSimpan #KledangSaiong #KualaKangsar

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *