Susulan penutupan 27 anak syarikat di Perak: Tidak babit GLC besar – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan tiada anak-anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang besar terbabit susulan penutupan 27 anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurutnya, penutupan GLC itu tidak membabitkan pekerja yang ramai memandangkan kebanyakan syarikat yang terlibat hanya terdiri daripada ahli-ahli lembaga pengarah sahaja.

“Sebahagian daripada syarikat atau anak syarikat atau cucu syarikat (terlibat) telah ditubuhkan yang ada adalah Board of Directors (Ahli-ahli Lembaga Pengarah) tapi belum ada pekerja, sebab belum ada business (perniagaan) kerana baharu sahaja ditubuhkan.

“Tapi, jika ada setengah anak syarikat yang ditutup kerana perniagaannya rugi maka mereka (pekerja terkesan) itu sebahagiannya akan dipindahkan kepada anak syarikat yang lain,” katanya.

Beliau berkata ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP) di Hotel Kinta Riverfront, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Presiden Dewan Perhimpunan Cina Perak, Datuk Kwan Foh Kwai.

Semalam media melaporkan, sebanyak 27 anak syarikat PKNP yang dikenal pasti tidak menunjukkan prestasi yang baik dan membebankan terpaksa ditutup bagi menjimatkan perbelanjaan.

Anak syarikat yang mengalami proses penutupan itu antaranya tidak menjalankan aktiviti perniagaan dan gagal memberi sumbangan kepada kerajaan negeri.

#PerakKini #PKNP #anaksyarikat #ditutup

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *