KPKT kesan 550 projek perumahan sakit, terbengkalai di seluruh negara, cari inisiatif terbaik untuk selamatkannya

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengesan kira-kira 550 projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara, kata Menterinya, Nga Kor Ming.
Menurutnya, berikutan itu kementerian mewujudkan satu pasukan khas diketuai Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta menubuhkan ‘war room’ bagi memantau projek berkenaan.
Katanya, setakat ini kementerian dalam proses mengenal pasti masalah-masalah dengan pemaju dan kontraktor.
“Melalui ‘war room’ itu, kita akan monitor (pantau) projek sakit dan terbengkalai serta mengambil langkah dan inisiatif terbaik untuk menyelamatkan projek tersebut.
“Langkah tersebut diambil bagi memastikan hak pembeli rumah dijamin dan dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kepayang Ipoh di sini, hari ini.
Terdahulu, satu upacara menandatangani dokumen persefahaman antara PR1MA dengan Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (Co-opbank Pertama) bagi Skim Rumah CBP MyPR1MA yang menyediakan pembiayaan rumah hingga 110 peratus dengan kadar keuntungan pinjaman serendah 3.85 peratus untuk harga hartanah antara RM250,000 hingga RM500,000 diadakan pada majlis berkenaan.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha menyokong inisiatif KPKT di bawah Skim Rumah Pertamaku bagi memudah cara pembiayaan perumahan untuk rakyat yang memerlukan iaitu pembeli rumah PR1MA yang berkelayakan dapat memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Menyentuh berhubung Residensi Kepayang Ipoh, Kor Ming berkata apartmen yang mempunyai 252 unit itu ialah satu daripada projek sakit yang berjaya disiapkan dan dilengkapi dengan fasiliti seperti dewan serbaguna, tadika, surau, taska dan taman permainan.
Katanya, selain Residensi Kepayang, PR1MA juga mempunyai 10 projek lain di Perak antaranya Residensi Falim, Residensi Kampung Paloh, Residensi Meru dan Residensi Bandar Baru Setia Awan Perdana.
