Polis kesan individu terlibat insiden kekecohan di luar Bangunan Seri Kinta dalam video tular

Tangkap layar dari video yang tular di aplikasi WhatsApp memaparkan kejadian kekecohan berlaku pada Ahad.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang menjejaki sekumpulan individu yang dipercayai terbabit dalam satu video tular memaparkan kekecohan di luar Bangunan Seri Kinta, Jalan Sultan Idris Shah, di sini.
Ini susulan pihak polis mengesan video berdurasi 23 saat yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata semakan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada 5 Februari lalu dan satu laporan polis telah dibuat serta kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
“Kini, kita sedang mengesan individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan lanjut.
“Di samping itu, kita ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Justeru, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut yang boleh menjejaskan siasatan polis mahupun mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
#PerakKini #PDRM #tular #video #kecoh #Whatsapp #Ipohh #RBZ
