Gelongsoran tanah di Lahat, MBI tunggu laporan lengkap pemaju

Gelongsoran tanah yang di cerun berhampiran kawasan perumahan yang didakwa berlaku di Lahat Waterfront City.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menunggu laporan penuh kejadian gelongsoran tanah di cerun berhampiran kawasan perumahan Lahat Waterfront City sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata MBI telah mengambil maklum mengenai perkara itu dan sudah meminta pihak pemaju menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian tersebut semalam.

“Ia (kejadian gelongsoran tanah) melibatkan banyak perkara. Nanti kita akan maklumkan hasil laporan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis bagi tempoh 16 Februari 2023 hingga 15 Februari 2024 di Dewan Mesyuarat MBI, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Hamdan Ali ketika dihubungi berkata pihaknya sudah menyemak dengan MBI mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, menurutnya, pembangunan dan cerun di kawasan tersebut adalah di bawah seliaan pemaju perumahan.

“Setakat ini, JKR Perak belum menerima sebarang permintaan daripada MBI untuk pandangan teknikal, disebabkan cerun itu di bawah pengawasan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu MBI,” jelasnya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun TikTok dikenali sebagai @cikguchandra memuat naik satu video berdurasi satu minit 11 saat mendakwa kejadian gelongsoran tanah di cerun itu berlaku berhampiran kawasan perumahan dan mengundang bahaya kepada penduduk berhampiran.

#PerakKini #gelongsorantanah #Lahat #Ipoh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *