Pembaikan dan penggantian komponen, kabel lampu limpah Stadium Perak akan siap malam ini – Datuk Bandar

Foto: Perak FC Official

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerja-kerja pembaikan dan penggantian komponen serta kabel lampu limpah di Stadium Perak yang dipercayai dicuri pada 14 Februari lalu akan siap malam ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata setakat ini proses pembaikan komponen dan kabel stadium berkenaan sudah siap 70 peratus.

“Untuk makluman buat masa ini proses pembaikan (lampu limpah) sedang dilaksanakan dan sudah capai 70 peratus (siap) sehingga tengah hari ini.

“InsyaALLAH, malam ini kita akan selesaikan semuanya  100 peratus. Jadi, pagi esok kita akan buat testing (lampu limpah) dan malam esok kita akan buat ujian untuk pastikan bahawa sistem lampu limpah itu akan boleh digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli Majlis bagi tempoh 16 Februari 2023 hingga 15 Februari 2024 di Dewan Mesyuarat MBI, pada Rabu.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata berhubung dakwaan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan unsur sabotaj, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Beliau berharap fasiliti tersebut dapat digunakan seperti sedia kala dalam saingan Liga Super, Perak FC menentang Kedah FC pada 25 Februari ini.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan berlaku kejadian kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak melibatkan kerugian kira-kira RM135,000.

#PerakKini #MBI #StadiumPerak #lampulimpah #curikabel #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *