Rumah teres dua tingkat jadi markas aktiviti judi ‘online’, remaja 15 tahun antara 10 ditahan

Foto Media Sosial

IPOH – Remaja 15 tahun dan seorang wanita antara 10 individu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam satu sindiket membangunkan serta menyelenggara laman sesawang dan perisian judi dalam talian di sini, semalam.

Sindiket itu berselindung di sebuah rumah teres dua tingkat di bandar raya ini yang dijadikan sebagai markas untuk mereka menjalankan kegiatan tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Yusri Hassan Basri berkata serbuan itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak beberapa minggu lalu.

“Berdasarkan maklumat dan risikan terdapat aktiviti menjalankan kegiatan pusat panggilan yang menyalahi undang-undang. Apabila kita menyerbu rumah tersebut, kita mendapati pusat panggilan itu menjalankan aktiviti judi dalam talian.

“Sindiket ini menyewa sebuah rumah dua tingkat di kawasan perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam serbuan itu beberapa barangan turut dirampas termasuklah sebuah komputer riba, tiga set komputer, 34 unit telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem, dan sehelai kertas mengandungi skrip perbualan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata siasatan lanjut turut mendapati sindiket tersebut menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan judi secara dalam talian dan perisian mengikut permintaan pelanggan dari dalam atau luar negara.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan reman mulai hari ini hingga esok kecuali remaja di bawah umur yang telah dijamin pada hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya orang ramai bersama-sama memainkan peranan untuk menyekat aktiviti promosi judi dalam talian dan aplikasi serta media sosial dengan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

#PerakKini #PDRM #judi #online #SKMM #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *