Pejuang mohon sertai PN

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) meminta kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk mempertimbangkan permohonan mereka menyertai parti berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata surat permohonan untuk menyertai PN sudah dihantar kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan salinan kepada Timbalan Pengerusi yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Menurutnya, keputusan untuk membuat permohonan itu dicapai melalui Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) dalam satu mesyuarat yang diadakan dua hari lalu.

“Selepas membuat penelitian dan penilaian khusus ke atas semua opsyen-opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada, kita bersepakat untuk membuat keputusan ini.

“Ini adalah bersesuaian dengan mandat yang kami perolehi dari Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2 baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

MEP dalam keputusan tiga perenggan telah membuat pertimbangan antaranya, adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi yang ditandingi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua pihak yang berpakat.

Kedua, lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN, yang bermakna kesepakatan parti itu dengan PN tidak terhad hanya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung Jun ini, tetapi juga untuk jangka masa panjang.

Ketiga, penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya yang mendatang.

#PerakKini #Pejuang #PerikatanNasional #PN #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *