Zambry, Shamsul Anuar antara enam calon MKT dari Perak – Saarani

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah antara enam calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dari Perak yang akan bertanding pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung 18 Mac ini.
Empat lagi calon adalah Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman; Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun, Ketua Pemuda UMNO Perak, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata UMNO Perak menyokong penuh mereka yang sudah mendaftar untuk menjadi calon MKT UMNO pada pemilihan akan datang.
“Dalam mesyuarat UMNO yang baharu diadakan pada Ahad lepas, ada beberapa orang di negeri Perak memaklumkan telah mendaftar nama untuk calon MKT. Jadi, sudah tentu UMNO Perak menyokong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Bulan Wanita Perak 2023 dan Penyerahan Geran Penerbitan Ilmiah Perak Sejahtera 2030 di Pejabat Menteri Besar, di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Perak itu turut mengesahkan masih kekal jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu.
“Di Lenggong, yang saya dimaklumkan akan ada pertandingan di peringkat Wanita sahaja. Ketua Wanita ada dua calon, Naib Ketua Wanita pun ada dua calon, selepas itu jawatankuasa ada ramailah.
“Pengerusi Tetap bahagian tak bertanding, Timbalan Pengerusi Tetap bahagian ada dua calon,” katanya.
Beliau turut menasihatkan kepada semua calon untuk bersaing secara sihat sepanjang proses pemilihan itu.
#PerakKini #UMNO #MKT #Perak #RBZ
