Op Tapis Khas: 530 termasuk warganegara asing ditahan di Perak

Foto Polis Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak berjaya memberkas 530 orang termasuk warganegara asing dalam Op Tapis Khas yang dijalankan dari Isnin hingga semalam, di 11 lokasi sekitar negeri ini.

Operasi tiga hari ini membabitkan 290 orang pegawai dan anggota dari JSJN Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah serta dua pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek terdiri daripada 522 lelaki dan lapan wanita.

“Suspek ditahan berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 67 tahun dan 13 daripadanya adalah warganegara asing daripada Myanmar, Indonesia, Thailand, Laos dan Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 50 orang ditahan atas kesalahan pengedaran dadah, 178 orang bagi kesalahan memiliki dadah manakala 302 orang penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Pihak polis turut menahan 12 individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki dan sembilan suspek pula dikenal pasti sebagai penagih dadah tegar dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952,” ujarnya.

Beliau berkata, antara dadah yang dirampas termasuklah heroin (494.30 gram), methamphetamine (155.44 gram), ganja (34.05 gram), cecair ketum (55.75 liter), cecair methadone (1.2 liter) dan pil eramin 5 (0.77 gram) dengan nilai rampasan berjumlah RM35,254.50.

“Turut disita sebuah kereta, wang tunai dan barang kemas berjumlah RM12,518,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd Yusri menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan informasi berhubung penyalahgunaan dadah supaya tindakan pembanterasan dapat dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada gejala dadah.

#PerakKini #PDRM #JSJN #narkotik #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *