Tiga individu keluar kepala di ‘sunroof’ MPV, polis kesan perakam video

Foto: Media Sosial
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Polis sedang mengesan individu yang merakam video tular berkaitan tiga kanak-kanak mengeluarkan kepala mereka melalui sunroof (bumbung tembus cahaya) daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang berlaku di Jalan Sultan Idris Shah, di sini pada 1 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 24 dan sembilan saat itu dimuat naik di halaman Facebook Malaysia Automotive Shiftposting, semalam.
Menurutnya, video itu memaparkan tiga individu disyaki kanak-kanak sedang melakukan aksi bahaya dengan mengeluarkan kepala daripada sebuah kenderaan MPV yang sedang bergerak di atas jalan raya.
“Untuk makluman, polis sudah menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita juga sudah berjaya mengesan pemandu dan penumpang-penumpang kenderaan MPV yang terbabit dalam kes ini.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada 1 Mac lalu kira-kira jam 10.40 malam di Jalan Sultan Idris Shah. Ketiga-tiga individu yang kelihatan mengeluarkan kepala dalam video itu masing-masing berusia antara 13 hingga 16 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau menyeru individu yang merakam video tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Yap Siew Cheng di talian 012-909 3362.
Dalam pada itu, Yahaya turut menasihati orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga supaya tidak membiarkan anak-anak melakukan perbuatan yang mungkin mendatangkan bahaya untuk mengelakkan sebarang risiko keselamatan yang tidak diingini.
#PerakKini #PDRM #video #tular #RBZ
