ADUN Buntong tawar nasihat guaman percuma sebulan sekali kepada golongan kurang mampu

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pusat Khidmat DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong menawarkan khidmat nasihat guaman percuma sebulan sekali kepada penduduk Buntong dan daerah Kinta khususnya untuk golongan kurang berkemampuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi Thivani berkata, pusat khidmat tersebut dijadikan platform untuk memberi konsultasi guaman secara percuma sama ada dalam perundangan sivil, jenayah, hartanah atau undang-undang keluarga.
Menurutnya, inisiatif tersebut diteruskan pada tahun ini selepas mendapat sambutan baik daripada orang ramai.
Katanya, program khidmat nasihat guaman tersebut akan diadakan pada setiap bulan dan siri pertama adalah pada hari Ahad, 12 Mac ini disusuli 2 April bermula dari jam 10 pagi hingga 1 petang.
“Tahun lalu, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) saya telah mengadakan empat siri program ini dan memanfaatkan kira-kira lebih 80 orang bukan sahaja penduduk Buntong malah di sekitar daerah Kinta.
“Daripada pemerhatian saya, ramai dalam kalangan masyarakat yang hadir ke pusat khidmat ini untuk mendapatkan nasihat undang-undang dan ada yang perlu dirujuk kepada peguam.
“Jadi, kami mengambil inisiatif membawa pakar undang-undang ke pusat ini untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat DUN Buntong, di sini pada Jumaat.
Thulsi berkata seramai lima atau enam peguam berpengalaman yang akan memberi khidmat nasihat tersebut.
“Bagaimanapun, orang ramai yang hadir untuk menerima khidmat nasihat ini perlu membawa dokumen-dokumen berkaitan supaya kami dapat meneliti dan membantu dengan lebih mudah,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman percuma ini boleh datang ke Pusat Khidmat DUN Buntong, No. 354, Jalan Guntong, 30100 Ipoh.
#PerakKini #DAP #khidmat #nasihat #guaman #percuma #RBZ
