Isu Padang Polo: MBI akan berunding dengan 7 penjaja berlesen dalam masa terdekat

Foto: Moh Kita

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan berunding dengan tujuh penjaja berlesen di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) berhubung isu cadangan penempatan semula kesemua peniaga ke lokasi baharu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata setakat ini pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana rundingan masih belum diadakan bersama penjaja-penjaja terbabit.

“Kita akan panggil tujuh peniaga berlesen di Padang Polo untuk berunding dengan MBI mengenai perkara itu.

“Rundingan itu dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 MBI, di Casuarina@Meru, pada Khamis.

Mengulas dakwaan kononnya penempatan semula peniaga itu akan menyebabkan pengunjung tidak singgah ke lokasi baharu itu, Rumaizi berkata perkara tersebut bergantung kepada persepsi masing-masing.

“Kalau nak kata orang tak masuk (lokasi baharu) tak boleh juga. Sekarang kita lihat Lan Catering buat (berniaga) di situ maju. Itu persepsi masing-masing.

“Perkara ini adalah di bawah Bahagian Pelesenan MBI dan sebarang keputusan berhubung rundingan itu akan diumumkan kemudian,” katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 60 penjaja yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut dan hanya tujuh daripadanya mempunyai lesen yang sah.

Sebelum ini, media melaporkan tujuh penjaja berlesen tersebut tidak bersetuju dengan cadangan untuk menempatkan kesemua peniaga ke lokasi baharu.

Mereka mendakwa lokasi baharu yang dicadangkan itu disifatkan tidak bersesuaian dan tidak praktikal kepada penjaja mahupun pembeli.

#PerakKini #MBI #PadangPolo #peniaga #bimbang #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *