Sindiket diesel haram berselindung di sebalik premis guna papan tanda jual jubin

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tindakan licik satu sindiket menjual diesel subsidi secara haram yang berselindung di premis menggunakan papan tanda perniagaan menjual jubin serta dipercayai aktif sejak setahun lalu akhirnya terbongkar dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Sri Rapat, di sini pada Jumaat.

Serbuan itu dilakukan sepasukan lapan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui ‘Ops Tiris’ yang dijalankan kira-kira jam 4.30 petang.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata kejayaan operasi ini adalah hasil pemantauan dan intipan selama dua minggu ke atas aktiviti pembelian minyak diesel di stesen minyak sekitar Ipoh menggunakan lori bertutup kanvas.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menyita 8,000 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng, tiga mesin penyedut, dua lori lima tan dan 83 tangki minyak yang boleh mengisi 1,000 liter minyak setiap satu.

“Kesemua barang yang ditemui telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM121,425,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas KPDN Perak menjalankan ‘Ops Tiris’ di Kawasan Perindustrian Sri Rapat, di sini malam tadi.

Katanya, dua lelaki tempatan dipercayai pemandu lori dan seorang lelaki warga Bangladesh disyaki penjaga premis yang kesemuanya berusia dalam lingkungan awal 50-an turut ditahan dalam operasi itu bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamaluddin berkata modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan dua buah lori yang diubah suai tangki asal dan kemudiannya membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sekitar Ipoh.

“Dua buah lori berkenaan akan ke premis perindustrian ini untuk memindahkan dan menyimpan minyak disyaki diesel menggunakan mesin penyedut.

“Kemudian, minyak diesel itu dipercayai dijual dengan harga lebih murah daripada harga pasaran kepada pihak industri tempatan,” jelasnya.

Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sementara itu, Kamaluddin memaklumkan untuk rekod dari Januari sehingga semalam, sebanyak 12,127 pemeriksaan telah dilaksanakan membabitkan 22 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan terkumpul sebanyak RM 1,824,563.42

#PerakKini #KPDN #curidiesel #bersubsidi #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *