KPKT cakna sediakan PRISMA bantu wujud persekitaran mesra komuniti autisme

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Cakna terhadap keperluan komuniti autisme, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan Panduan Inisiatif Persekitaran Mesra Autisme atau dikenali juga sebagai PRISMA.
KPKT melalui kenyataan media memaklumkan PRISMA adalah salah satu ikhtiar untuk membantu dan menyokong keperluan komuniti autisme bagi memudahkan pergerakan dalam kehidupan harian mereka seiiring dengan kepesatan pembangunan.
Menurutnya, penyediaan PRISMA dilaksanakan KPKT menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama kumpulan pakar yang dilantik.
“Justeru, PRISMA adalah pelengkap keperluan OKU yang tidak dapat dilihat secara fizikal seperti autisme serta akan menjadi pelopor dan rujukan pihak kerajaan, pemaju, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, Menteri KPKT, Nga Kor Ming berbesar hati mengadakan Pra Pelancaran PRISMA semasa sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN 2023) yang diadakan di Taman D R Seenivasagam, pada Sabtu.
Sementara itu, kenyataan tersebut turut merujuk kepada statistik pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mac 2022, seramai 216,203 individu berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah sub-kategori kurang upaya pembelajaran dengan 34,457 (16%) daripadanya adalah individu autisme dan bilangan ini dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.
“Jadi, PRISMA akan membantu dalam menyediakan persekitaran mesra autisme selaras dengan prinsip ‘tiada yang akan ditinggalkan’ dan ‘bandar untuk semua’,” jelasnya.
Dalam pada itu, kenyataan itu berkata PRISMA sejajar dengan Gagasan Malaysia Madani di bawah Rukun Ke-2 iaitu kesejahteraan yang mencakupi nilai dan memaknakan pembangunan yang berdaya huni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang dan status masyarakat.
Tambahnya, KPKT akan menggalas cabaran tersebut untuk terus berperanan sebagai penyelaras dan penasihat kepada pihak kerajaan dan swasta ke arah melaksanakan transformasi persekitaran yang lebih inklusif pada masa hadapan.
Terdahulu, PLANMalaysia telah menyediakan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Sejagat (Universal Design) untuk kemudahan sokongan dan persekitaran yang mesra OKU fizikal.
#PerakKini #KPKT #PRISMA #autisme #HLN2023 #RBZ
