Polis siasat dakwaan pegawai imigresen cedera dipijak pegawai kanan ketika ujian kecergasan

Foto: Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis sedang menyiasat laporan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang mendakwa dicederakan pegawai kanan jabatan sama di Depot Imigresen Sementara, Bidor pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada 10 Mac kira-kira jam 2 pagi d Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku pada jam 9.30 pagi Khamis ketika hari terakhir mangsa menjalani Ujian Kecergasan Pegawai dan Anggota Pasukan Taktikal Khas (Pastak).

“Mangsa bersama dua pelatih diarahkan oleh suspek melakukan hukuman tekan tubi sebanyak 20 kali.

“Semasa sedang melakukan tekan tubi, suspek telah memijak bahagian belakang leher sehingga menyebabkan mangsa tersungkur dan mengalami kecederaan di bahagian hidung, sebatang gigi hadapan patah, luka bahagian gusi dan luka pada bibir,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Yusri berkata susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam, Selangor.

“Polis telah memanggil suspek serta semua yang terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan,” jelasnya. Sehubungan itu, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

#PerakKini #PDRM #pegawai #imigresen #dipijak #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *