Lelaki mabuk amuk pukul dua anggota polis ditahan

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan memukul dua anggota polis dalam kejadian yang berlaku di hadapan pos pengawal Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini tengah malam tadi.
Ketika insiden berlaku, suspek berusia 30 tahun itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pada jam lebih kurang 12.05 pagi petugas di pos pengawal tersebut mendapati sebuah kereta yang dipandu suspek melanggar penghadang jalan berhampiran kawasan berkenaan.
“Suspek yang disyaki di bawah pengaruh alkohol itu kemudiannya mengamuk dan memukul dua orang anggota polis yang berada di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan ke terhadapnya.
“Akibat serangan itu, kedua-dua anggota polis terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Susulan kejadian itu, suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, suspek direman selama tiga hari mulai hari ini hingga Ahad untuk siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dengan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan diri sendiri dan orang awam yang lain.
#PerakKini #PDRM #lelaki #mabuk #amuk #ditahan #RBZ
