Perak negeri pertama laksana inisiatif pendigitalan lesen perniagaan melalui myPATIL di seluruh 15 PBT, peruntuk RM2 juta

Foto Pejabat Meneeri Besar Perak

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perak menjadi negeri pertama yang melaksanakan inisiatif pendigitalan lesen perniagaan yang dilaksanakan di semua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pendigitalan lesen perniagaan itu akan dilaksanakan melalui teknologi pintar yang dinamakan myPATIL.

Menurutnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2 juta sebagai sokongan supaya myPATIL dapat diperluaskan ke PBT seluruh Perak pada tahun ini.

“myPATIL adalah lesen premis perniagaan berasaskan ‘internet of things’ yang mula dipelopori Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sejak tahun 2021 bertujuan untuk memudahkan peniaga memperoleh dan memperbaharui lesen premis perniagaan tanpa perlu hadir ke kaunter PBT.

“Aplikasi pintar ini juga menjadi forum komunikasi pihak MPM dengan pemegang lesen yang membantu menjimatkan masa dan tenaga.” “Teknologi data dari sistem myPATIL juga berjaya membendung salah laku pemalsuan lesen dan menangani ketirisan yang telah lama menjadi isu integriti dalam penguatkuasaan PBT selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sewaktu Kolokium Kerajaan Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan (KKT Perak) Tahun 2023 di Dewan Bankuet Bangunan Darul Ridzuan, pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Saarani me jelas kan bahawa premis-premis peniagaan di Manjung sudah tidak perlu memaparkan lesen perniagaan bercetak, kerana semua data pelesen dan aktiviti perniagaan boleh dipantau terus melalui sebuah cip digital.

Katanya, cip itu akan disimpan dalam premis dan terpaut kepada aplikasi yang dikawal secara real-time atas talian dari gajet pintar setiap pegawai yang diberi kuasa.

“Selepas dua tahun perlaksanaannya yang berjaya membuktikan keberkesanan perkhidmatan teknologi tersebut, kerajaan negeri bersetuju melaburkan lebih RM2 juta sebagai sokongan kepada PBT-PBT di Perak untuk melaksanakan inisiatif myPATIL pada 2023,” jelasnya.

#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #PBT #myPATIL #lesenperniagaandigital #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *