50 anak yatim, miskin dibawa beli baju raya

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi 50 anak yatim dan miskin dari dua buah badan kebajikan di sini apabila dibawa membeli kelengkapan pakaian raya di Pasar Raya Econsave Chemor oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) petang tadi.

Dua buah badan kebajikan tersebut adalah Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Yassin Ipoh.

Pengurus Wilayah Utara 3 Econsave, Shah Effendy Rosman berkata sebanyak 80 baucar bernilai RM50 disediakan untuk diberikan kepada anak yatim dan miskin tersebut.

“Kami memperuntukkan kira-kira RM50 untuk seorang penerima dan mereka diberi peluang memilih sendiri baju raya mengikut citarasa masing-masing.

“Program dengan kerjasama MBI ini sudah diadakan sejak lapan tahun lalu dan jika ada rezeki akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi berkata selepas selesai program di bawah MBI Prihatin itu, anak yatim dan miskin itu akan dibawa ke Program Berbuka Puasa tajaan Hotel M Roof.

Katanya, pada majlis itu turut diadakan penyampaian duit raya sumbangan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) serta pemberian 27 cermin mata percuma oleh Navira Meditech.

“Kita berharap pemberian tersebut dapat menggembirakan mereka selain mengurangkan bebanan kos yang perlu ditanggung golongan yang kurang berkemampuan ini,” katanya.

#PerakKini #MBI #Econsave #MRoof #PCSH #NaviraMeditech #bantuan #bajuraya #bukapuasa #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *