Pengemis di bulan Ramadan, kerajaan negeri pandang serius

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak memandang serius isu pengemis yang dilihat mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan terutamanya di bazar Ramadan.
Ini kerana kehadiran Ramadan dilihat membuka lebih peluang kepada pengemis kerana sikap umat Islam yang suka bersedekah terutamanya sepanjang bulan mulia ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Salbiah Mohamed berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan mengenai perkara berkenaan.
“Setakat ini kita tak terima aduan macam itu (pengemis di bazar Ramadan) bukan sahaja di bulan Ramadan malah pada hari biasa juga ada dan diambil tindakan terutama melibatkan kanak-kanak.
“Perkara ini antara yang menjadi tumpuan dan fokus kita. Bagaimanapun, kita belum menerima aduan yang serius berkenaan perkara ini.”
“Jika itu berlaku, kita akan salurkan kepada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang pengemis warga asing mampu meraih RM8,500 sebulan hasil daripada aktiviti meminta sedekah di lokasi tumpuan orang ramai termasuk dal kalangan pelancong asing di sekitar Kuala Lumpur.
Terdahulu, Salbiah mengadakan sesi ‘walkabout’ bertemu peniaga di Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya pada Rabu.
#PerakKini #pengemis #bazarRamadan #RBZ
