Lelaki hilang sewaktu berjoging sebenarnya pengsan dua hari

Foto: Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang lelaki yang tular di Facebook selepas dilaporkan hilang ketika berjoging di Anjung Bercham Indah pada Selasa lalu telah pulang ke rumahnya dengan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata kisah kehilangan lelaki berusia 32 tahun tular dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Justin Chee dan tular di media sosial sehingga mendapat perhatian masyarakat.

Menurutnya, laporan mengenai kehilangan lelaki itu telah diterima dan lelaki terbabit sudah pulang ke rumahnya semalam pada jam 6 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah keluar berjoging berhampiran kawasan perumahan Anjung Bercham Indah pada 28 Mac kira-kira jam 6.45 petang.

“Mangsa memberitahu ketika berjoging dia pengsan akibat diketuk dari belakang oleh dua lelaki tidak dikenali sebelum tersedar pada 30 Mac jam 3 pagi.

“Selepas tersedar mangsa pulang ke rumah dan mengadu sakit kepala dan kini dia masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hassan berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun.

Beliau berkata kes ini akan disiasat dari pelbagai sudut dan meminta saksi orang awam yang melihat kejadian itu supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-619 5312 untuk tampil membantu siasatan.

#PerakKini #PDRM #pengsan #duahari #samun #selamat #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *